Tuesday, October 20, 2009

Kelahiran

~mata masih belum mahu tutup~

Kelahiran. Terima kasih ibu, terima kasih bapa. Mereka berusaha menjadikan kita menjadi yang terbaik dari yang terbaik. Selalu, dan selamanya. Dari kecil, sehingga dewasa segalanya untuk kita. Aku, kamu, kita dan semua.

Kelahiran. Terima kasih ibu. Tempoh 9 bulan tidaklah sepantas kami melupakan kamu. Ada derita, ada kesakitan. Perjuangan demi memastikan kami melihat dunia. Kesakitan yang mengharapkan kamu dihormati. Demi kasih yang jarang sekali keruh. Seperti mulusnya hati-hati kami diawal kelahiran.

Kelahiran. Terima kasih bapa. Bertahun, kamu membesarkan kami. Wang, tenaga dan segalanya bukan bukti kamu materialistik. Pengorbanan yang mahu memastikan kami terpelihara dari menikmati apa itu kesusahan. Pengorbanan yang bukan sedikit jumlahnya.

Kelahiran. Terima kasih semua. Perhubungan yang menzahirkan kami melihat dunia. Kami kenal apa itu ABC, kami tahu apa itu 123. Kami tahu apa itu teknologi. Meskipun, ada antara kami terhanyut oleh arus modenisasi.

Kelahiran. Sesuatu yang sukar diterjemah. Ibu, bapa dan kamu semua yang akan merasai pengalaman ini. Ada bersyukur, ada yang seakan sukar menerima.

Kelahiran. Kedatangan kami disambut laungan kebesaran. Mengagungkan kebesaran Ilahi, yang mencipta; yang mematikan. Mengharap setiap kelahiran satu rahmat kepada kedua mereka.

Kelahiran. Waktu cepat berlalu. Mereka masih ingin memeluk kita. Sesekali, pasti wajah comel tatkala kita bayi ditatap. Betapa mereka menghargai, sesekali tidak pernah ragu akan kelahiran kita. Yang mengamankan hidup kita. Tanpa doa, kita tidak ada.

Kelahiran. Peluklah kedua ibu bapa. Ucapkan terima kasih pada mereka. Kerana mereka, kita ada. Restu mereka, kita berjaya. Jangan ragu, jangan kelu. Kenanglah kisah Tanggang. Satu kisah klasik yang wajar jadikan teladan!!!.

Saturday, October 17, 2009

Bumi Di Lipat.Bumi Ditiup.

Bumi dilipat bumi ditiup. Berjaga-jaga, peringatan kerajan. Peringatan dari Tuhan. Indonesia dilipat, Filipina berkali-kali ditiup. Rakyat salahkan pemimpin, merungut kepada cuaca. Mendorong simpati manusia sekitar.

Bumi dilipat bumi ditiup. Kita sekadar mampu menonton, ingin ke sana; tidak tahu cara. Tangan dihulur, berkongsi beban. Sedang ada saudara melarat, kita sekadar berkata “kena rajin dan berusaha.” Simpati yang yang diberi kadangkala tidak kena pada bicara.

Bumi dilipat bumi ditiup. Sejarah Nuh A.S. ada mencatat. Bencana alam, bahana dari perlakuan. Harta si kufur nikmat Qarun, juga secebis kisah manusia.

Bumi dilipat bumi ditiup. Lampu kuning menyala, menanti berhenti pada satu point berwarna merah. Tapi, kita terus berhibur. Rancangan realiti tumbuh melata. Pemangkin kepada dunia semata-mata. Mufti berbuih mulut, telah dicerca. Hingga ada mereka yang kecewa.

Bumi dilipat bumi ditiup. Peringatan Tuhan tanda akhir zaman. Kita telah berkira-kira tarikhnya kiamat. Sedang ulul azmi tidak mengetahui. Ciptaan Yahudi yang kita percayakan. Tidak pernah berkata tidak. Kita terima, kita tulis sebagai kebenaran.

Bumi dilipat bumi ditiup. Bukalah Al-Quran, bacalah hadith demi kebenaran. Patahkan segala kitab-kitab kafir yang memesongkan. Bumi telah dilipat, bumi telah ditiup. Tunggu kepada musnah semua. Banyakkan taubat, bangkitkan amar makruf.

Bumi dilipat lagi. Bumi ditiup lagi. Menanti kepada maut, jika kita tidak sedar-sedar lagi. Padang telah menangis. Filipina telah meratap hiba. Melarat semua…. Semua merungut. Kurang itu, kurang ini. Kufur nikmat kita saksikan secara langsung.

Tamat sebuah cerita. Kita harus sedar yang bumi tunggu masa untuk musnah. Rugi, jika kita sengaja membuang masa. Duduk sejenak, bertafakurlah seketika. Ingat, lampu kuning menyala!

*dihadapan sebuah cerita dunia (berfikir & bertafakur). Melihat padang dilipat, filipina ditiup.

Tuesday, October 13, 2009

Penjahanam Manusia!

Aku benci DADAH! Tolong jangan isap benda sial ni depan aku! Benda yang bisa memusnah seluruh masa depan manusia! Tolong, tolong… Aku bukan benci kamu penagih, aku kasihan. Lihat menarik sialan itu separuh nyawa, kemudian tertawa? Apakah makna?!

Aku benci DADAH! Aku pernah disuspek kerananya! Si sial yang tidak pernah aku dekati. Si penjahanam yang pernah buat aku di caci! Sial, sial sial…! Aku sedih, aku kecewa. Namun, tidak pernah memberi makna dewasa kepada kalian ( si penagih )?!!! Sedang aku, yang tidak pernah berdamping berasa terhina! Apakah makna?!

Aku benci DADAH! Si penjahanam manusia yang selalu popular dalam kalangan professional. Kasihan, cukup bijak tapi otak singkat! Jahanam, si penjahanam manusia! Bangsa membunuh bangsa! Nilaikan sendiri makna kemajuan. Apakah makna?!

Aku benci DADAH! Tolong, tolonglah jauhi! Si insan seni pernah hilang semua kerananya. Si pengaku professional pernah kecewa kerananya. Si mubaligh ada juga. Tidakkan mendatangkan insaf kepada kita?! Tidakkah kalian mahu bertemu sinar kehidupan yang bermakna?!

Aku benci DADAH! Biarlah kamu kata, “inilah gaya hidup moden!” Tolong, tolong jangan gunakan modenisasi untuk kalian banggakan diri! Sedangkan, aku juga mengikut arus modenisasi. Aku, kamu dan semua kalian! Tapi, bukan mencari dadah sebagai jalannya!

Aku benci DADAH! Biarlah kamu pinggirkan aku. Asalkan aku tidak bersahabat kerana si sial, penjahanam manusia itu! Aku tidak mahu bergelar penagih dadah tegar! Cukuplah, ketagih rokok juga buat aku terseksa menahan rasa.

Aku benci DADAH!

Dengar, aku benci DADAH!

Bukan kamu.

Kamu, sahabat aku.

Dengar, kamu sahabat aku.

*sial kamu semua pengedar, penjahanam manusia!

Friday, October 9, 2009

Terleka!

Semalam, aku leka dalam terjaga. Meriah yang terasa buat aku melupakan seketika kesedihan ini. Seketika yang sedetik cuma. Mereka lihat aku gembira. Mereka lihat aku tertawa. Dihadapan aku berkata, berucap sepatah kata dengan senyuman mesra. Supaya mereka tidak terasa duka aku.

Semalam, aku ceria dalam duka. Aidilfitri mulia, kami raikan bersama. Suasana itu membasuh luka. Dari awal hingga penamat masa, aku tertawa. Memberi senyuman kepada semua. Agar mereka tidak dapat meneka hati yang terluka.

Seperti terjaga dari tidur. Aku terpana seketika. Masa sedetik mengubah segalanya. Aku teringat kamu. Kamu nyawa, kamu penawar. Segalanya adalah kamu. Kedua, selepas ibu aku. Sedar-sedar, kamu hidup dalam satu dunia. Dunia yang aku akan tiba, bila sudah tiba masanya. Antara garis pemisah- hidup, mati. Kamu ternyata tinggalkan aku dan kenangan kita.

Aku menghadap jendela. Matahari tiada sinarnya. Ribut hujan membawa sejuta cerita. Hiba yang datang tiba-tiba. Mahu pulang ke masa lalu? Mustahil! Ini bukan cerita anime. Si kucing robot yang ada mesin masa! Karut!

Aku masih ingat kamu. Mereka selalu berkata, “harus cari pengganti”. Masa terdekat ini?! Celaka, manusia seakan patung bernyawa, cuma perasaan tiada. Jikalau harus sendirian sampai penghujung nyawa, aku akan pasrah. Dunia masih luas untuk aku. Di penghujung itu masih belum mati. Meski, dunia sudah mengeluarkan amaran penamat. Masih di lampu kuning, masih ada masa untuk keinsafan.

Aku terleka, seperti baru terjaga. Merapu bersama bahasa sastera. Coretan yang mungkin kalian pernah merasainya, perhaps; bercampur bersama bahasa dunia. Aku menunggu masa untuk tinggalkan dunia. Sampai satu masa, aku ketemu wanita seperti kamu…

Mungkin, waktu akan melekakan jiwa.

Mungkin, masa adalah penentu.

Kalau hingga akhir hayat, tidak ketemu.

Aku akan terus di sini.

Menanti, dan terus menanti….

*idea + jiwa tatkala sambutan aidilfitri twintech KB 2009.