Wednesday, September 26, 2012

Sindiket Pelacuran Minda IPT - racun political paling teruk.

Saya terpanggil menulis tentang isu Pilihanraya Kampus IPTA setelah diajukan rakaman video yang dirakam di UTHM di Selatan Tanah Malaya. Mungkin ia boleh dinamakan sebagai perjumpaan sulit atau mungkin perjumpaan tidak rasmi. Siapa yang hadir tidak berapa penting bagi saya, kerana intipati yang disampaikan oleh tuan moderator itu begitu menarik minat setelah beberapa hari saya mengikuti perkembangan juga kematangan pemimpin-pemimpin kampus IPTA bertanding dalam usaha mengetengahkan idealogi masing-masing.

Kita tidak boleh menafikan yang; sedikit sebanyak perkembangan pergerakan mahasiswa hari ini di dorong oleh beberapa transformasi juga reformasi politik Federal yang menyaksikan seolah-olah kita berada di tahun 70-an. Tahun di mana, pergerakan mahasiswa begitu pesat disuntik dengan semangat demostrasi jalanan, suara-suara idealism, juga unsur-unsur penentangan ke atas doktrin-doktrin kerajaan.

Bagaimanapun, pemimpin ulung pada masa itu seperti Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Hishammudin Rais (sekadar menyebut beberapa nama) tidaklah terlalu dangkal dengan menyokong penuh atau mungkin juga tidak keterlaluan ke arah menyokong haluan kiri.

Flash back sejarah kuasa pelajar dari jalanan itu telah melakar beberapa peristiwa sehingga mendorong AUKU digubal bagi menyekat pelajar terpengaruh dengan doktrin-doktrin haluan kiri yang tidak dihalalkan oleh kerajaan. Maaf, tidak keterlaluan rasanya jika saya menulis sekatan itu berjaya apabila rentak perjuangan aktivis pelajar mula perlahan. Dan, ada juga beberapa nama tenggelam ditelan masa dan perubahan zaman.

Hari ini, cabaran besar menyekat perkembangan pergerakan mahasiswa telah dilonggarkan. AUKU seumpamanya memberi semula hak pelajar untuk membuat pidato umum secara terbuka juga memberi kebebasan untuk pelajar aktif dalam persatuan politik.

Satu perkara yang perlu diingatkan; sejauh mana pergerakkan mahasiswa ini perlu diberi perhatian. Menabur janji manis seumpamanya, serta menyuntik mereka dengan semangat nasionalism yang membabi buta bakal merosakkan kredibiliti juga martabat student legaslative itu sendiri.

Ini didorong oleh brainwash injection oleh barisan kerajaan juga pembangkang dalam usaha meraih minat untuk menjadikan platform kedua-dua barisan ini sebagai alternatif perjuangan mereka. Lihat saja contoh Adam Adli. Lantaran terlalu sibuk dengan perjuangan mendemokrasikan pergerakan mahasiswa; disogok dengan manipulator agung Datuk Seri Anwar Ibrahim; tidak keterlaluan jika ditulis beliau terlalu kepingin untuk bergelar HERO. Begitu juga dengan pimpinan pro kerajaan. Anda tidak perlu terpekik terlolong melaungkan sentimen pro kerajaan tanpa mengetengahkan idea-idea segar dalam memastikan kedudukkan yang selesa untuk ditarik barisan muda parti kerajaan. Tidak perlu!

Kualiti pemimpin yang seringkali dilupakan ialah idea segar ketika berhujah. Bukannya di dorong oleh sentimen kesetiaan yang membabi buta!

Sebagai bekas pemimpin pelajar, saya berpendapat dalam proses menghasilkan produk berkualiti kepimpinan, pemimpin MPP perlu dielakkan daripada elemen politik kepartian. Menjerumuskan aset-aset yang dinamakan sebagai student legaslative ke lembah hina politik kepartian bakal menghasilkan satu sindiket pelacuran minda IPTA yang mana membejatkan lagi masalah transformasi politik yang lebih bersih.

Percayalah memberi kebebasan memilih siapa pemimpin bukanlah berasaskan kepada politik kepartian. Penyampaian aspirasi mendalam yang mengetengahkan idea-idea secara realistik merupakan tunjang penting menentukan halatuju keperibadian pemimpin masa depan.

Apalah gunanya demokrasi terpimpin jika pemimpin peringkat IPT disogok secara keterlaluan dengan elemen-elemen politik kepartian.

Come on guys, sepatutnya kalian harus bangkit secara realistik dengan idea-idea baru ke arah transformasi kepimpinan yang lebih bersih daripada yang kita miliki sekarang.

Bagi saya puluhan anak muda IPT yang neautral adalah lebih mulia berbanding dengan ratusan pemimpin IPT yang Pro-M dan Pro-A!

Di akhir kata, apalah gunanya status kebebasan pelajar jika perkara seumpama ini masih menjadi api dalam sekam yang menyekat mereka dari berfikir di luar lingkungan. Menyekat kebebasan bukanlah tertakluk kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata; ianya lebih kepada membebaskan minda dari unsur-unsur yang tidak boleh diupayakan mentaliti untuk membebaskan budaya politik berparti!


SHAHZUL IZZIL SHAM AL-RASHID ZULKEFLI,
WP LABUAN.

Monday, September 17, 2012

Anwarisme Dan Pulau Kecil

  1. PKR dah mula berpengaruh dekat pulau kelahiran gua ni. Baru beberapa hari lepas, Leader De'Facto PR, DS Anwar Ibrahim berkempen bersama-sama dengan kepimpinan PR yang lain seperti YB Sivarasa, YB Azmin, YB Zuraida juga pemimpin-pemimpin PKR juga DAP turun padang ke pulau ni.
  2. Anwarisme ni umpama virus. TS Ibrahim Menudin veteran UMNO secara rasmi mengumumkan kemasukan kedalam PKR, mungkin beliau ni gua perati akan menjadi orang penting dalam Cabang Labuan. Mungkin lah. Pemerhatian gua tak lebih kepada manifiesto PKR dalam memenangi hati-hati kecil anak pulau, juga siapa yang menjadi keanggotaan dalam cabangnya.
  3. Dari segi manifiesto, ada beberapa perkara yang gua tak berkenan. Sebenarnya, tidak ada salah PKR mahu bertapak secara kukuh di pulau ni TETAPI sentimen yang dibawa harus sesuai dengan sensitiviti masyarakat setempat. Katakanlah, kita sibuk membicarakan soal liwat Anwar Ibrahim ataupun isu-isu yang mencalar kredibiliti pemimpin-pemimpin PR itu adalah soal-soal peribadi mereka sendiri. Soal peribadi pemimpin dengan kepimpinan parti kerajaan tidak perlu menjadi isu dalam usaha menawan hati-hati kecil anak watan! Ini serius, isu peribadi Anwar adalah isu antara beliau dengan pembesar-pembesar UMNO bukan masalah warga pulau untuk kita ambil endah.
  4. Isu-isu yang melanda kepimpinan di Federal tidak perlu dicampur aduk, senang cerita. Anwar ni bekas orang nombor dua UMNO, pembesar UMNO. Jadi, tabiat orang UMNO ni memang tak boleh dibuang dari tebiat Anwar. Dia ni berkawan dengan orang-orang berpangkat. Dia bawak isu sebab mahu jadi PM. Lu orang ingat dia kisah sangat ke dengan kesusahan rakyat? Dia ada ambik berat ke pasal rakyat miskin? Takde punya lah. Percaya cakap gua, slogan kuasa rakyat ni sekadar mengaburi mata rakyat tak lebih mahu bagi kita yang biasa-biasa ni berperasaan macam orang-orang besar jugak. Tak percaya, cuba tengok kronologi BERSIH, 901, dan juga peristiwa malam merdeka tu hari. Apa jadik? Kita hilang kemanusiaan sebab politik? Gila!
  5. Bila gua menulis macamni jangan la kawan-kawan kata yang gua ni pencacai UMNO. Gua percaya kepada politic natural. Takde provokasi melampau. Easy. Semua rakan-rakan pembangkang kenal gua punya prinsip macamana. Even, dengan YB Sivarasa tuhari gua dah wish "Good Luck, YB". Dia terkejut. Tapi gua balas, "Opposition is in the right track. You're drive for opportunity. Once, you fail; you lost the opportunity" Dia senyum, sebab dia faham. Sentimen yang dimainkan di Federal tidak layak untuk dijadi bahan politik di pulau kecil ini. 
  6. Yang buat gua jadi tak paham, kenapa Cabang Labuan ni dah mula berebutkan kuasa nak jadik calon PRU? Sentimen kaum-kaum juga agama dah mula kena canang. Orang UMNO tergelak-gelak jugak perati perangai korang. Percaya cakap gua  permainan sentimen yang melampau-lampau baik dari PR mahupun BN dekat pulau kecil ni nak jadi apa? Nak jadi macam dekat Federal? Kemudian, orang lain ketawakan kebodohan kita? Macam tu? Sedar la sikit, macamanapun pegangan politik kita; jalinan saudara tu tetap ada. Persaudaraan tu penting.
  7. Jambatan? Kau bawak isu jambatan? Kajian ni patut secara menyeluruh oi! Bukan sebab BN tak nak buat; kau terhegeh-hegeh nak buat. Setakat nak bagi senang ke tanah besar Sabah tu tak payah la buat benda melampau-lampau. Realisitik lah sikit. Ekonomi ni benda menyeluruh. Buat jambatan ni bukan cerita untuk 5tahun macam PRU, ni cerita mungkin sampai 7keturunan. Ah, boring gua nak explain benda ni sebab gua dah explain through Facebook gua masa Hari Wilayah tuhari.
  8. Ok lah, sebenarnya gua dulu memang sokong propaganda Anwarisme ni. But since dia cakap pasal isu PTPTN terus gua fed up. Lagi-lagi hal BERSIH dengan 901. Yang pasal PTPTN tu, dia lupa ke yang ada jugak student buat loan MARA dengan lain-lain bank? Adam Adli ni bengap sangat nampak gaya. Kuat sangat terpengaruh.
  9. Last but not least, membuang Anwar daripada UMNO memang senang untuk Mahathir lakukan; tapi membuang perangai UMNO dalam tabiat Anwar takde sekor pun boleh lakukan! Pecaya cakap gua. Mungkin pulau kecil ni bakal jadi mangsa.

Tuesday, September 11, 2012

berubah

mungkin iya kita berubah kerana masa
kita berubah kerana usia

mungkin juga kita banyak memendam setiap rasa
sehingga rasa itu menggigit lohong sayang menjadi reput-reput
bersama hari-hari berlalu.

sepi, menyepi sendiri buat kita bosan
lantas berubah untuk hidup berasingan.

Sunday, September 9, 2012

di pijak untuk rasa tawadhuk

belum tahu rasanya di pijak
berpergian lah barang sepurnama dua

jika sakit, kembali ke lubuk
jika seronok, kekalkan hijrah penuh tawadhuk.

Saturday, September 1, 2012

#Merdeka55 2.0

entah apa aku cari di sini
diskusi konglomerat selesa di sofa
bisnes juta-juta jadi subjeknya

ah, celaka
aku sebahagian dari ahli rupanya.

bisik-bisik,
mahu jadikan marhein sebagai medium
paparan media mereka penggeraknya
sebalik permainan kecil kapitalis mereka

aku ini siapa?
marhein yang biasa-biasa
atau
celaka konglomerat yang aku sumpah tadi?