Friday, May 28, 2010

yang berlalu, tak berulang Part I

Salam Semua.

Aku duduk dan terus menekan papan kekunci di laptop yang berusia hampir 2 tahun ni. Dan, hampir 2 tahun sudah aku berusaha menulis, menulis + meluahkan apa yang perhatikan, yang aku rasa, yang aku alami. 2 tahun yang cukup bermakna. Tinggalkan keluarga demi untuk cita-cita yang lari dari impian waktu persekolahan (dulu aku nak jadik navy officer). Macam yang aku tulis kat entri sebelum ni, kat Kota Bharu ni banyak benda yang aku dah belajar + pelajari. 2 tahun tu tak lama kan? Ilmu aku kutip, pengalaman aku carik.

Alhamdullillah, hidup aku kat sini sudah banyak berubah. Kalau dulu, aku bercakap soal bangsa, kat sini aku nampak kesatuan bangsa. Letak belakang semua perkauman, manusia tu sama. Kalau dulu, aku sukakan kesoSIALan. Sekarang ni, nafsu untuk bersoSIAL sudah kurang. Paling tidak cuma melepak di kedai-kedai kopi bersembang, berbahas sesetengah isu. Politik, perbahasan utama.

Siapa yang tak kenal aku kalau tidak rokok jadi simbol utama. Rokok? Kalau dulu, letak 3 kotak Dunhill 20 dalam sejam boleh habis. Sekarang, 20 batang mau tak 2,3 hari baru habis. Alhamdullillah, aku dah berjaya dalam jihad yang paling dituntut agama! Insyaallah, aku nak kekalkan prestasi ni sampai boleh tinggalkan rokok.

Masa kian suntuk. Hanya ada beberapa minggu lagi untuk aku berada di bumi Kelantan Darul Naim. Sedih? Mungkin. Gembira, sebab mungkin lepas ni aku berdiri disisi mama. Jaga diorang macam diorang jaga aku selama 2 tahun ini. Kalau tidak call, paling koman SMS. Dunia sudah moden kan?

Oh, ya. Akhir-akhir ni, aku macam sedikit beremosi. Perasaan aku macam sayang nak tinggalkan tempat-tempat yang ajar aku erti pengorbanan, apa itu kawan, siapa sahabat, siapa barua dan siapa gunakan kita untuk kepentingan waktu susah. Dan, ya. Sudah berkali-kali aku sebutkan sayang mahu tinggalkan bumi Kelantan.

Suasana kat sini, tak macam tempat lain. Aku petik entri sebelum ni:

“Di bumi ini, aku lalui segala yang tak pernah aku impikan. Aku belajar dan kutip pengalaman dan kehidupan. Aku sakit dan lepaskan keluhan disini. Aku ketawa dan gembira bersama hangatnya bumi ini. Aku melakarkan masa dan mengukir pembaharuan. Aku genggam semua cabaran. Aku telan semua kepahitan. Aku berjumpa teman, dan aku ketemu lawan. Memahami makna antara sahabat dan barua. Hampir setiap hari.”

Petikan kat atas tu, lahir dari hati. Aku tulis secara kebetulan. Rasa + perasaan. Dalam masa aku lepaskan keluhan, kawan-kawan sekeliling tiupkan kegembiraan. Dalam masa aku telan kepahitan, datang sahabat menghulurkan nasihat. Aku gembira, meski kadangkala merasa dipergunakan tapi aku percaya semua tu ilmu kehidupan.

Aku tak pernah menyesal terdampar menagih ilmu disini. Dikelilingi warga yang prihatian. Kadang-kala bersembang dengan warga sekeliling, buat aku rasa dihargai. Perasaan tu, macam bila aku lalu atas karpet merah menang Anugerah Bintang Paling Popular! Ajaib! Macamana perasaan mereka yang timbul(terkejut + takjub) bila aku katakan asal tempat kelahiran, macam tu lah jugak perasaan aku.

3 stage sudah aku tinggalkan. Jauh lagi perjalanan yang perlu aku tempuh. Ada lagi cabaran di masa depan. Yang pastinya, apa yang aku lalui disini takkan lagi berulang bila aku berpindah keluar; kembali ke negeri kelahiran. –yang berlalu, tak berulang-

kegembiraan ditelapak tangan kesedihan!

Monday, May 24, 2010

SAJAK: Nafas Kelegaan, Aku Percaya

Semakin hari, semakin pulih dari kepedihan ni mungkin aku sudah bijak mengasingkan antara tekanan. Cinta dan juga perasaan. Arghh, aku tolak tepi semua prasangka. Kau kata aku jiwang, perasaan ni anugerah. Mampu ke aku tolak?

Jika toleh masa lalu, boleh ke aku ubah? Tukar balik ayat-ayat menjadi “oh, aku cinta kamu hanya sementara!” atau “eh betul ke aku sayang ko?” Maknanya, aku tukarkan kehidupan itu menjadi kebodohan.

Di bumi ini, aku lalui segala yang tak pernah aku impikan. Aku belajar dan kutip pengalaman dan kehidupan. Aku sakit dan lepaskan keluhan disini. Aku ketawa dan gembira bersama hangatnya bumi ini. Aku melakarkan masa dan mengukir pembaharuan. Aku genggam semua cabaran. Aku telan semua kepahitan. Aku berjumpa teman, dan aku ketemu lawan. Memahami makna antara sahabat dan barua. Hampir setiap hari.

Aku belajar menjadi manusia. Tinggalkan hampir semua kepalsuan dunia. Gembira. Perpaduan ada disini. Juga merintih kerinduan pada tanah kelahiran yang menuntut perjuangan anak kelahiran. Tapi, aku tidak racist pada bangsa mahupun negeri kelahiran.

Aku percaya ada rahsia dari hijrah ini. Aku percaya kesakitan ini adalah ketenangan. Supaya pemilik jiwa ini tidak lupa siapa Pencipta. Sekarang, aku makin lega. Melangkah dan menghela nafas dan mampu memejamkan mata. Lena. Terima kasih Tuhan atas semuanya!

puisi ini mengingatkan aku pada sajak bernama “the road not taken”.

Saturday, May 15, 2010

Mulut Banyak Cakap, Hati Banyak Bising?!

2 hari ni, mulut dan hati aku kecoh. kecoh nak cakap sesuatu. sesuatu yang jarang aku ucapkan time sekolah dulu. sekarang aku nak cakap SELAMAT HARI GURU buat mereka yg bergelar guru. yg mengajar aku ilmu kehidupan yg mengajar aku kepentingan cita-cita yg mengajar aku memenuhi impian yg mengajar aku memotivasi diri. terima kasih, terima kasih, terima kasih. kalau aku mati hari ni, jiwa xkecoh nak ucap kpd kalian. halalkan & maafkan kalau perlakuan kami pernah melukakan.

Monday, May 10, 2010

Kemanusiaan Untuk Manusia Bernama GURU.

Salam Semua.

16 Mei hampir tiba. Sudah kebiasan seperti di tahun-tahun sebelumnya kita junjung bukan sedikit kasih guru melalui ilmu kehidupan yang mereka berikan. Tahun ini, mari kita kenang kembali zaman waktu persekolahan sekita tahun 90-an dulu.

Berbanding murid dulu dengan sekarang, rasanya darjah kehormatan masih milik seorang guru. Ya, aku dulu bersekolah kampong, masa tu kemanusiaan seorang pelajar masih belum hilang. Guru duduknya mulia. Beberapa minggu lalu, seorang pelajar mahu membunuh diri. Gara-gara cintanya ditolak. Penghujung 2008, di Perlis; guru wanita disepak oleh seorang pelajar. Hairannya, pihak ibu bapa menutup mulut. Persatuan guru tiada suara. Itu cerita guru-pelajar sekarang. Menjadi belasahan murid yang dicurah ilmu kepadanya.

Di tahun 90-an, kalaulah pelajar melakukan kesilapan dengan rela-pasrah untuk dijatuhkan hukuman. Tiada sedikit pun perasaan dendam. Dikala menuju kedewasaan, hukuman itu menyedarkan. Kalau tidak mungkin terhanyut dengan gula-gula kehidupan. Lain halnya dengan sekarang. Guru rotan sekali, keluarga datang ibarat rombongan meminang. Di adu kepada umum, media membesarkan isu. Natijahnya, kesalahan jatuh 100% ke atas bahu guru.

Teringat, waktu dihujung-hujung zaman persekolahan dibebel dengan ceramah kehidupan, career, dsb. Terasa senak otak disumbat dengan perkataan serupa setiap hari. Perkhawinan-gagal SPM-persoalan IPTA/S menyentak sedikit emosi untuk memilih waktu/hari mana yang perlu aku hadir. “Monday mood”. Isnin-jarang sekali wajah ini kelihatan di hadapan barisan. Dipanggil oleh Cikgu Nurul untuk kesedaran. Antara kata-katanya “kamu ada potensi untuk pergi jauh. macamana kamu mahu orang contohi kamu kalau kamu tidak boleh mengetuai diri sendiri?” Cikgu Nurfiah “kamu suka memotivasi orang lain, padahal kamu bukan ada motivasi untuk diri sendiri pun”. Ya, dan terima kasih guru. Hakikatnya, aku sudah disini. Di platform yang aku memimpin sejumlah pelajar. Di platform yang aku usahakan hasil keramat ayat kalian. Bukan sedikit rasa yang aku telan. Itu cuma sekadar rasa yang akhirnya menyedarkan aku.

Ilmu yang diberi bukan sedikit. Ilmu peperikasaan + ilmu kehidupan. Kirakan berapa jumlah air liur mereka yang sudah buat kita di platform ini. Terima kasih guru.

Adik-adik yang masih dibangku sekolah, mungkin zaman berbeza tetapi ilmu kehidupan tidak pernah berubah. Jangan buang kemanusian kalian, kerana marah kepada guru. Jangan buang maruah diri kalian, kerana dicerca atas kebodohan. Lepaskan kemarahan perlahan-lahan, telan atau luahkan ikut landasan kemanusian. Satu hari nanti, jika kalian berada di platform ini pasti kalian menyesal dan masa itu kemanusian sudah sukar dibentuk kerana hitamnya sejarah silam. SELAMAT HARI GURU!

Wednesday, May 5, 2010

Kes Aminulrasyid : Simpati Dihulur.

Salam Semua. Masih tidak ketinggalan untuk mengucapkan rasa simpati ke atas keluarga Allahyarham Aminulrasyid di atas kecelakaan yang menimpa beliau. Tidak perlu diterang secara terperinci mengenai kejadian berkenaan kerana bimbang ada pihak-pihak yang cuba memanipulasi segala fakta, keterangan diatas kesulitan yang dialami keluarga Allahyarham. Bermula Isnin lalu, isu ini menjadi panas apabila sesetengah pihak seolah-olah menutup sebelah mata dengan meletakkan 100% kesalahan ke atas pihak terlibat, KPN terutamanya tanpa mengambilkira justifikasi kes dari sudut pandangan yang sebenarnya. Keadaan ini menjadi semakin berat, apabila pihak pembangkang mula mengorak langkah dan berlagak seolah-olah wira kepada keluarga Allahyarham. Masing-masing mahu menjadi wira yang tidak didendang. Ketua Polis Negara dalam kenyataan beliau kepada kesal dan berjanji akan menyiasat dan menyerahkan laporan terperinci secara jelas kepada umum. Malang bagi pihak PDRM apabila ini menjadi senjata supaya beliau meletakkan jawatan dalam masa 30 hari oleh pihak pembangkang. Dalam interaksi laman sosial pula, wujud kumpulan yang ditubuhkan atas nama "KAMI BENCI KEKEJAMAN POLIS MALAYSIA! - JUSTICE FOR AMINULRASYID". Persoalannya disini, apakah kerelevanan kewujudan kumpulan-kumpulan seperti ini? Apakah adil bagi pihak PDRM apabila terus dijatuhkan hukuman tanpa sebarang pengadilan? Apa yang dilihat (sehingga catatan ini ditulis), kumpulan laman sosial ini mempunyai 66, 100 orang pengikut yang kononnya atas nama keadilan. Pendedahan pengakuan oleh saksi utama pula dilihat bercanggah dengan proses perundangan apabila mendedahkan sebahagian kenyataan dalam laporan beliau kepada pihak umum. Jika ini diperhatikan oleh mereka yang kononnya menjunjung prinsip keadilan yang tinggi berdasarkan apa yang terdapat dalam perlembagaan undang-undang pasti akan menemui sedikit kesalahan pada fakta dan kenyataan beliau. Apatah lagi, dilihat pihak pembangkang seolah-olah menangguk di air keruh di atas malapetaka yang menimpa keluarga Allahyarham. Sememangnya, undang-undang Malaysia tidak menyekat kebebasan untuk bersuara. Penubuhan satu jawatankuasa beberapa hari lalu, dilihat ketelusan pihak berkuasa ke atas kejadian berkenaan. Apapun alasan yang dituntut oleh sesetengah pihak, biarlah pihak polis dan pihak berkenaan berasa selesa untuk menyiasat perkara ini secara mendalam. Tidak perlu dipertikaikan kewajaran kuasa Ketua Polis, PM, dan mereka yang terlibat dalam keselamatan negara. Sememangnya, adat manusia sebegitu: "yang buruk diperbesarkan, kebaikan dipandang sekecil kuman!"