Tuesday, October 21, 2008

"SERIKANDI MALAYA" 1924-2008

Shamsiah Fakeh (1924-2008) juga dikenali sebagai "Ratu Rimba Malaya" ialah tokoh feminis, nasionalis, pejuang dan reformis berhaluan kiri Tanah Melayu sebelum merdeka.Shamsiah dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari pekan Kuala Pilah. Shamsiah merupakan puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Islam, Pelangai, Negeri Sembilan. Shamsiah pernah berguru dengan Lebai Maadah di Pelangai. Antara rakannya ialah Ustaz Abdul Jalil Salim, Haji Abd Aziz dan Hambiah. Shamsiah pernah berkahwin dengan Ahmad Boestamam. Beliau berkahwin sebanyak lima kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir. Ahmad Boestamam tidak pernah menceritakan perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau. Perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947. Ahmad Boestamam ditahan kerana karyanya Testament Politik A.P.I. yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Mahkamah mendapati Ahmad Boestamam bersalah dan kemudiannya didenda 1,200 ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan. Shamsiah merupakan ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sebuah parti politik sayap kiri yang ditubuhkan di Tanah Melayu pada Februari 1946. Tujuan parti ini adalah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Oleh itu, AWAS kemudian diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1948. Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 yang merupakan sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya, Ibrahim Mohammad, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Selepas terpisah dari PKM, pada tahun 1956 Shamsiah terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965, Shamsiah dan Ibrahim ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shamsiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia. Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada tahun 1989. Perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling pada tahun 1955 gagal. Shamsiah Fakeh menghembuskan nafas terakhir pada 20 Oktober 2008, jam 9 pagi di kediaman anak lelakinya, Jamaluddin Ibrahim, di Kodominium de Tropicana, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor. Jenazah beliau, 84, yang mengalami sakit tua telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang dengan diiringi oleh lebih seratus sanak-saudara dan teman-teman dekat allahyarham pelbagai kaum termasuk timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan penulis kolum Hishamuddin Rais. PETIKAN DARI wikipedia.org/wiki/Shamsiah_Fakeh

No comments: