Thursday, July 4, 2013

PKML: Nasionalisme Di Pulau Kecil.



1. 1946, penubuhan UMNO adalah cebisan dari kebangkitan nasionalisme di Tanah Malaya, kita tidak harus terlepas pandang dengan memperkecilkan perjuangan nasionalisme dibawah panji Persatuan Kebangsaan Melayu Labuan(PKML) yang juga ditubuhkan pada tahun 1946.

2. Seiring perkembangan nasionalisme di Tanah Malaya, di Borneo tidak terlepas juga dengan perjuangan demi perjuangan demi merebut hak di tanah sendiri. Sejarah UMNO terlalu ‘besar’sangat sehingga menenggelamkan satu demi satu pertubuhan kecil nasionalis sehingga tidak didendang ke hari ini.

3. Panji-panji nasionalisme tanah air tidaklah terlalu kejam untuk ‘membunuh’ jasa besar sebilangan tokoh tidak didendang sebagaimana perjuangan UMNO Baru menidakkan beberapa pertubuhan dalam usaha yang sama. Tulisan ini bukanlah mengenepikan terus UMNO sebagai penggerak usaha kearah merdekanya Tanah Malaya tetapi sebagai penegasan yang; sejarah juga ditinta oleh perjuangan besar orang kebanyakan khususnya di Borneo.

4. Sejarah dan perjuangan Persatuan Kebangsaan Melayu Labuan(PKML) tidak diletakkan pada ‘hak’ yang tersendiri. Jika tidak ditinta dalam perkembangan nasionalisme Borneo sekalipun, paling tidak kita harus menempatkan catatan tentangnya di tanah anak pulau ini sendiri. Saya menyelusuri sejarah dari pentas non partisan; yakni ditempat mana saya berdiri. Yang layak menerima pujian, harus menerima pujian. Begitu juga dengan kritikan.

5. Saya akui, di Muzium Labuan ada menulis sedikit mengenai perkembangan nasionalisme yang merujuk kepada beberapa tokoh seperti Dato’ Hj. Fadzil di dalam PKML. Tetapi, catatan itu terlalu ringkas. Saya percaya jika nama-nama tokoh ini disebut dihadapan anak muda; mereka akan ternganga. Iyalah, tidak ada catatan bertulis, tidak ada apa-apa; tiba-tiba muncul nama yang jarang disebut.

6. Inilah yang harus kita elakkan. Sejarah bukanlah “pengulangan semula watak cerita”, sejarah adalah pedoman dan penceritaan utuh; dan idealisme kearah perjuangan membebaskan dari jajahan ‘orang putih’ adalah panduan paling teguh kepada generasi mendatang. Bagaimanapun, penghakiman sejarah tidak harus berlaku kejam dengan mengagungkan idealisme yang diatur oleh masakini.

7. Saya percaya, sejarah PKML berhak diletakkan ditempat selayaknya ia berada supaya generasi anak pulau ini tahu yang warga mereka bukanlah penonton kepada ‘kekebalan’ aristocrat Barat. Ia juga bakal memberi sedikit penghargaan kepada waris-waris yang masih ada bahawa kita meletakkan ahli ahli keluarga yang berjuang dibawah panji nasionalisme PKML bukanlah satu yang sia-sia.

8. Tulisan ini bukanlah bertujuan mengkritik sikap ‘tutup mata’  sesetengah pihak; sebagai anak muda yang cinta dan suka melihat kepada fakta sejarah, saya mahu kita berbangga yang PKML adalah pelopor kepada nasionalisme pulau kecil ini. Kita terlalu agungkan UMNO; padahal ia hanya muncul di Borneo lewat 80-an, 90-an lampau sehingga kita lupa pada pejuang yang berhak.

9. Kalau Chin Peng yang berjuang dibawah panji komunisme yang menipu sebilangan besar pemimpin API, AWAS diberi peluang balas menulis buku tentang idealoginya di Tanah Malaya; kenapa tidak kita menulis sendiri tentang nasionalis pulau kecil yang jarang didendang ini? Well, suka atau tidak; sejarah nampak gayanya ditulis dipentas kuasa mana kita berdiri.

No comments: