Thursday, July 30, 2009

Satu Persoalan: Aku & Puisi

Salam Semua.

Lama tak bertemu sahabat blogger kebelakangan ni. Macam biasa la, kan. Kekangan masa. Masa untuk menulis dan mengemaskini laman kesayangan ini amat berbatas sementelahan pula 2 minggu akan datang aku akan berdepan dengan peperiksaan akhir bagi semester ni. Semoga semuanya dapat aku jalani dengan mudah, Insyaallah.

Kali ni, entri aku akan menjawab persoalan para sahabat aku yang seringkali bertanya kenapa aku lebih suka mengetengahkan ayat-ayat puitis dan “terlebih makna” dalam blog ni. Apatah lagi, bagi mereka “permainan ayat” aku cukup dalam dan punyai unsur kejiwangan yang tinggi! Heh! So, peluang ni aku jawab kenapa dan mengapa penggunaan puisi dalam setiap penulisan aku. Semoga kalian tidak lagi bertanya kepada aku persoalan itu lagi, hopefully.

Satu sebabnya adalah kerana Bahasa Malaysia itu indah. Kenapa? Sedari dulu, kalau anda semua pernah mengkaji biarpun bukan secara mendalam, bahasa ibunda kita cukup agung. Sehinggakan, digunakan untuk urusan perdagangan, dakwah dan sebagainya. Ini kerana, indahnya bahasa ibunda yang terkenal dengan kesopanan dan tatasusila bangsa. Perhatikan saja kepada Bahasa Melayu klasik. Puitis dan cukup bermakna!

Keduanya, bagi aku bermain dengan ayat umpama irama lagu. Kita akan terasa “sesuatu” dan cuba untuk memahaminya. Aku cuba membina analogi yang mudah dimana keadaan ini sama seperti anda melayan lagu. Tidak kira apa jua elemen muzik; indie, jazz, mahupun rock. Anda pasti berasa tenang jika dihidangkan dengan irama yang anda sukai. Bukan begitu? Kalau bukan bermain dengan ayat, maka industri seni di negara ini pasti masih di takuk lama. Jika tidak kerana ayat, tidak akan di kenali siapa dia M.Nasir, Too Phat, Ramli Sarip, Yasmin Ahmad mahupun Habsah Hassan. Sebagai contoh, kenapa lagu-lagu penyanyi tahun 80-an lebih digemari atau dalam English disebut sebagai “evergreen”? Bukankah kerana ayat yang puitis dan punyai makna yang mendalam?

Selain itu, bagi aku mengetengahkan elemen seperti ini adalah satu cara aku dalam memperjuangkan kemahsyuran bahasa ibunda. Aku tidak mampu berkorban harta (masih belum mampu!) untuk negara ini jauh sekali berdemontrasi melaungkan mengenai perjuangan bahasa ibunda tetapi aku masih punyai alternatif lain. Inilah, perjuangan aku; meskipun di dunia realiti masih ada manusia pelik yang memerhati aku dengan penuh tanda tanya!

.

Yang terakhirnya; aku orang muda, yang cinta akan bahasa ibunda tanpa ada prejudis kepada bahasa asing. Aku cuba mengamalkan keterbukaan dalam menerima pandangan kalian terhadap setiap hasil tulisan aku. Keterbukaan ini, bukanlah satu tanda yang label “jiwang” itu satu kesalahan besar; baik dari segi undang-undang sivil mahupun syariah! Jiwa itu adalah perasaan, perasaan adalah seni; seni adalah anugerah Ilahi! Wassalam.

Kaki punya bicara:

aku tulis ini, agar kalian mengerti

bukan niat ingin mencaci

aku sekadar meminjam nikmat anugerah Ilahi kepada diri!

P/S:

Maaf, kalau ada yang terasa. Aku cuba menjawab setiap persoalan kalian dengan sejujurnya. Dengan harapan, setiap apa yang aku tulis ini dapat mengubah persepsi kalian terhadap aku. Heh!

No comments: