Thursday, October 29, 2009

Janganlah Bimbang!

Jangan bimbang. Aku masih selamat, masih bernafas untuk teruskan kehidupan. Meskipun, aku sentiasa bersendiri; mengharap kepada ketenangan. Itu waktu untuk aku tundukkan hati supaya aku mengerti dan memahami skrip kehidupan yang aku adalah pelakonnya.

Jangan kamu bimbang. Aku masih disini. Langsung kepada perjuangan hidup yang tidak berhenti, selagi titik “MATI” belum diletakkan. Watak aku masih diteruskan tetapi tidak menarik untuk kalian tonton. Inilah keajaiban yang kita saksikan. Pengarah yang tidak kelihatan tetapi “wujud”. Skrip yang tidak “dibaca” tetapi watak utamanya ada.

Janganlah bimbang. Aku akan berdiri, merangkak, berjalan, berlari selagi mampu. Selagi ada kamu dan semua. Tapi, berikan aku ruang untuk privasi kenangan. Jangan paksa sesuatu yang kalian tidak mampu tapi mahu aku lakukan. Bercakap saja tidak memadai, cubalah kalian buktikan!

Jangan bimbang. Aku masih bisa mengawal diri cuma aku minta, tolong hormati pendirian ini. Hentikan suara-suara sumbang kalian. 3 ayat saja bisa memuatkan kalian ke neraka jahanam buat selamanya. Kalian boleh pergi untuk meneruskan proses-proses mematikan hati. Aku takkan mengganggu. Tugas aku hanya dilingkaran yang kalian rasakan selesa. Bukan berada 360 darjah hidup kamu.

Jangan sesekali kamu bimbang. Hidup ini akan aku teruskan biarkan terus keseorangan. Aku masih tersenyum, berlawak dengan semua. Kata-kata mesra aku selalu lemparkan kepada penonton pentas dunia. Aku hanya akan memerhati dan terus menanti, saksi kepada hati-hati manusia yang kian mati. Biarpun, zahirnya pancaindera kalian masih berfungsi!!!!

*suara-suara manusia yang berkata aku semakin pentingkan diri.

Wednesday, October 28, 2009

Entri Tanpa Tajuk!

aku yang dikejar memori semalam lari, menyembunyikan diri dari dikejar dosa silam. dia muncul tanpa diduga. aku ketemu berharap dia sudah berubah. kenapa muncul tanpa dipinta? kata sahabat, "itu takdir namanya" aku terus lari. mungkin selamanya akan menyembunyikan diri. sampai bila? sampai satu titik noktah bertanda "MATI"!!!
28 Oktober 2009 Twintech KB.

Saturday, October 24, 2009

Terkenang Kamu! (Si Gadis Baju Biru)

Hari itu kamu berbaju biru. Aku suka kerna ia warna kegemaranku. Sama seperti kamu. Lagi aku suka, baju itu pemberian ku. Kamu nampak comel, sungguh! Ditambah, tudung yang tak lekang dikepala. Menjaga aurat, kamu masih bukan milik aku sepenuhnya.

Hari itu kamu berbaju biru. Sesekali bertemu, kamu nampak ceria. Walaupun, keletihan ada di wajah cantik kamu. Kamu masih mampu tersenyum. Aku kagum akan keperibadian kamu. Penat pratikum, kamu katakan pada aku. Itu kali terakhir semasa Ramadhan lalu.

Hari itu kamu berbaju biru. Berjalan berdua. Tidak, bersama keluarga kamu sebenarnya. Heh! Peribadi yang kamu jaga, bukan mudah untuk aku jumpa. Status dan umur berbeza bukan halangan kita. Keluarga kamu juga begitu. Aku suka!

Hari itu kamu berbaju biru. Kenangan terakhir yang mungkin tertulis dalam kepala. Tertawa, bila terlihat sesuatu yang lucu. Dalam khalayak ramai yang berpusu-pusu. Kita menyelit dalam kesesakkan manusia. Sama-sama berjalan. Keluarga kamu ada di belakang. Mereka berdua juga nampak bahagia.

Hari kamu berbaju biru. Aku terkenang. Cerita itu aku tulis. Aku rindu. Sehari aku mengingat kamu si gadis berbaju biru. Aku sedih dalam gembira, kamu dijemput tatkala rahmat melimpah; membasahi seluruh alam. Aku terkenang kamu! (kekasih yang berbaju biru!)

*tapi, itu kenangan dulu. tolong, kejutkan aku membuat hidup baru!

Thursday, October 22, 2009

Aku Menunggu Masa Untuk Berundur!

Aku menunggu masa untuk berundur. Secara latarnya, aku amat berharap semua mampu bekerja. Menyatukan yang terpisah. Merapatkan jurang persamaan. Tiada kasta, semua diatas status yang sama. Bukan sekadar cadangan retorik semata.

Aku menunggu masa untuk berundur. Aku kecewa. Bimbang, persoalan malaikat tidak mampu aku jawab dengan sempurna. Sungguh, jawatan itu satu penghargaan. Tapi, kalian dibawah aku. Akulah nakhodanya. Mana mungkin kalian akan menjawab bagi pihak diri. Ini bukan mahkamah dunia. Itu mahkamah yang memungkinkan aku kekal di neraka selamanya.

Aku menunggu masa untuk berundur. Janji, bukan untuk kita memeriahkan acara. Itu janji untuk ditunaikan bersama. Padahal, kalian telah mewar-warkan dipermulaan tangga. Kebolehan dan keupayaan itu yang dilihat melihat.

Aku menunggu masa untuk berundur. Aku tidak mahu dilihat sebagai penabur janji-janji dusta. Kita semua bukan pernah berdiri di pentas politik. Aku tidak mahu dilihat sekadar boleh berkata. Aku mahu, kita dilihat lebih dari itu.

Aku mahu ada perubahan. Aku tahu, kita tidak sempurna. Begitupun, kesempurnaan itu wujud jika kita berusaha menyatukan semua. Aku tahu, manusia terbatas keupayaannya. Tapi, bukankah ikrar telah kita sumpah. Idea telah kita satukan?

Aku mahu capai apa itu perubahan. Kita akui, semua kekurangan adalah puncanya. Jangan fikir masalah, tapi biarlah kita fikir apa itu amanah!

Biarlah aku berundur, jika ini yang terbaik untuk semua. Aku bimbang, jika gagal ini akan berterusan. Jangan biar, kita hanya dikenali melalui nama; sedang rupa tidak kelihatan!

Gagal. Gagal. Gagal. Gagal.

Aku cuba cari perubahan.

Tapi, gagal.

Gagal. Gagal. Gagal. Gagal.

Trauma yang buat aku prejudis pada kebolehan diri.

*menunggu isyarat merah dinyalakan.

Tuesday, October 20, 2009

Kelahiran

~mata masih belum mahu tutup~

Kelahiran. Terima kasih ibu, terima kasih bapa. Mereka berusaha menjadikan kita menjadi yang terbaik dari yang terbaik. Selalu, dan selamanya. Dari kecil, sehingga dewasa segalanya untuk kita. Aku, kamu, kita dan semua.

Kelahiran. Terima kasih ibu. Tempoh 9 bulan tidaklah sepantas kami melupakan kamu. Ada derita, ada kesakitan. Perjuangan demi memastikan kami melihat dunia. Kesakitan yang mengharapkan kamu dihormati. Demi kasih yang jarang sekali keruh. Seperti mulusnya hati-hati kami diawal kelahiran.

Kelahiran. Terima kasih bapa. Bertahun, kamu membesarkan kami. Wang, tenaga dan segalanya bukan bukti kamu materialistik. Pengorbanan yang mahu memastikan kami terpelihara dari menikmati apa itu kesusahan. Pengorbanan yang bukan sedikit jumlahnya.

Kelahiran. Terima kasih semua. Perhubungan yang menzahirkan kami melihat dunia. Kami kenal apa itu ABC, kami tahu apa itu 123. Kami tahu apa itu teknologi. Meskipun, ada antara kami terhanyut oleh arus modenisasi.

Kelahiran. Sesuatu yang sukar diterjemah. Ibu, bapa dan kamu semua yang akan merasai pengalaman ini. Ada bersyukur, ada yang seakan sukar menerima.

Kelahiran. Kedatangan kami disambut laungan kebesaran. Mengagungkan kebesaran Ilahi, yang mencipta; yang mematikan. Mengharap setiap kelahiran satu rahmat kepada kedua mereka.

Kelahiran. Waktu cepat berlalu. Mereka masih ingin memeluk kita. Sesekali, pasti wajah comel tatkala kita bayi ditatap. Betapa mereka menghargai, sesekali tidak pernah ragu akan kelahiran kita. Yang mengamankan hidup kita. Tanpa doa, kita tidak ada.

Kelahiran. Peluklah kedua ibu bapa. Ucapkan terima kasih pada mereka. Kerana mereka, kita ada. Restu mereka, kita berjaya. Jangan ragu, jangan kelu. Kenanglah kisah Tanggang. Satu kisah klasik yang wajar jadikan teladan!!!.